Kehalusan dan keindahan seni kraftangan Sarawak jelas terpancar melalui warisan pelbagai hasil kraftangan kaum etnik yang terdapat di Sarawak. Pua, tenunan ikat-lungsin yang diwarisi turun-temurun oleh suku kaum Iban memaparkan identiti dan pegangan kuat kaum tersebut kepada adat dan tradisi hidup.
Kombinasi warna coklat kemerah-merahan yang terdapat pada tenunan pua cukup harmonis dan menarik. Motif tumbuh-tumbuhan, binatang dan lambang makhluk seperti corak cicak (engkarong), buaya, lembaga manusia (engkaramba) dan sebagainya memaparkan keunikan rekacorak tradisi tenunan pua. Namun demikian, penenun pua kini lebih tertumpu kepada motif moden seperti bentuk tumbuh-tumbuhan dan geometrik.
Selain daripada kegunaan di upacara adat istiadat dan keagamaan, tenunan pua juga boleh dijadikan pelbagai jenis pakaian tradisi. Antaranya ialah bidang (skirt), sirat (cawat), kalambi (jaket) dan dangdong (kain sarung).
Jalinan hasil tenunan dan kegemilangan kombinasi warna dan corak tenunan yang mempersonakan, memaparkan keindahan serta nilai estetika dan mistik tenunan pua yang masih terpelihara hingga ke hari ini.
Songket, lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang diwarisi zaman berzaman. Kemahiran dan kretiviti tukang tenun terserlah melalui pengolahan corak dan hasil tenunan yang indah lagi menarik.
Kedatangan pedagang-pedagang ke Tanah Melayu telah menggiatkan lagi perkembangan tenunan tempatan.
Tenunan songket mula berkembang dibeberepa negeri terutama di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Di zaman silam, motif dan warna yang terdapat pada tenunan songket melambangkan strata atau kedudukan seseorang.
Secara tradisi, songket ditenun dengan menggunakan benang sutera halus dan benang emas serta dipakai oleh kerabat diraja Melayu dan golongan Bangsawan.
Kini, songket ditenun dengan benang kapas dan mula dipakai oleh golongan rakyat biasa sebagai pakaian rasmi untuk majlis-majlis tertentu.
Keanggunan kain songket, selain dijadikan sebagai pakaian tradisi untuk mempermanis dan memperaga seni budaya, ia juga turut diilhamkan pada pelbagai barangan dalam bentuk beg, bingkai gambar, hiasan dinding, kusyen dan sebagainya.
Tradisi menenun masih dapat dikekalkan tidak berubah sebagaimana seratus tahun dahulu. Alat-alat tenuna atau kek, motif dan ragamhiasnya sera cara menenun itu sendiri memperlihatkan keindahan dan kesempurnaan hasil ciptaan zaman silam yang masih segar hingga ke hari ini.
Motif
Ragamhias masih dipertahankan terutama dalam aspek pembahagian dan penempatan beberapa bentuk bahagian kain seperti kepala, kaki dan badan kain.
Penyusunan motif pula terbahagi kepada dua susunan bunga penuh dan bunga tabur.
Motif kain songket terdiri daripada dua unsur penting iaitu unsur alam dan tumbuhan.
Motif yang sering digunakan meliputi bentuk bunga, daun atau pucuk dan bahagian tampuk buah-buahan.
Motif-motif rekacorak yang menghiasi kain songket kebanyakannya berasaskan bunga-bungaan.
Dengan teknik menenun yang tersendiri, kesemua bentuk motif terhasil dalam corak geometric.
Motif-motif pada kain songket disusun dengan susunan bunga penuh, bunga bertabur atau susunan bercorak.
Motif pucuk rebung dan lawi ayam sering ditempatkan dikepala kain.
Manakala motif 'awan larat' pula dijadikan sebagai kaki kain (border design).
Susunan Motif Songket
1. Susunan bunga penuh
corak penuh bersulam juga dikenali songket cuban. Motif benang emas dan perak ditenun memenuhi keseluruhan kain.
2. Susunan bunga tabur
corak ditenun secara bertaburan dan tidak terikat atau berangkai antara satu sama lain. Motif bunga yang ditenun ialah bunga tanjung, bunga buah cermai, bunga buah kesemak dan lain-lain. Taburan pada kain songket juga dilengkapi dengan garisan corak di kepala dan kaki kain.
3. Susunan bercorak
susunan motif dibuat secara jaluran berdiri atau melintang.
Proses Tenunan Songket
Kek Tenun
Bahan dan Alat
Benang dan pewarna ialah bahannya. Alatnya pula terdiri daripada kek tenunan, kek mengarat, rahak, peleting buluh (bobbin), lidi daun kelapa, papan gulung, anak kayu, dua belira, sikat dan jentera, jarum culik, batang anak kayu, kayu karat, benang losen, lidi nibung atau buluh, benang batang bunga songket, darwin pakan, darwin benang emas, cuban, torak pakan, torak benang emas dan sumbi.
Teknik dan Proses
Setelah benang dibersihkan dan dimasukkan ke dalam pencelup warna, ia dibilas dengan air dan dijemur hingga kering. Lapan proses lagi yang terlibat sebelum sesuatu tenunan boleh disiapkan ialah melerai, menganing, menggulung, menyampuk, menghubung, mengarak, menyolek dan menenun.
1. Melerai
Benang yang telah kering dimasukkan ke dalam sejenis alat yang bernama rahak untuk diputarkan pada satu alat yang bernama peleting. Proses ini dipanggil melerai. Terdapat dua jenis rahak, iaitu darwin pakan dan darwin emas. Darwin pakan digunakan untuk benang pakan sahaja. Ia diperbuat daripada buluh dan tali atau rotan. Darwin emas pula digunakan untuk benang emas sahaja dan diperbuat daripada kayu atau dawai kerana benang emas kasar dan berat.
2. Menganing
Benang yang telah menjalani proses melerai dimasukkan ke dalam alat menganing untuk menentukan ukuran panjang benang yang hendak dimuatkan pada alat ini. Biasanya segulung benang pakan atau seloseng yang berukuran 26 - 31 m boleh menghasilkan 12 - 14 helai kain.
3. Menggulung
Benang yang telah dianing akan digulung pada papan gulung mengikut lebar gigi jentera dan panjang losen pada papan gulung yang hendak dipasung. Losen ialah benang yang memanjang pada kek. Kedudukan benang perlu diperiksa setiap tiga kali menggulung untuk memastikan susunan kemas.
4. Menyampuk
Menyampuk ialah proses memasukkan benang losen ke dalam gigi jentera atau sikat. Biasanya, proses ini dilakukan di dalam kek mengarak supaya senang untuk menyampuk benang kepada jentera. Setiap lubang sikat disusukan dua urat benang losen. Pada kedua belah hujung sikat itu disusukkan empat urat benang supaya tepi kain tidak terkoyak apabila disangkutkan pada kayu sumbi kain. Sumbi kain ialah sebatang anak kayu yang mempunyai paku di kedua-dua belah hujungnya. Sumbi kain menjaga tepi kain tenun supaya sama jarak dan tidak berkedut.
5. Menghubung
Menghubung ialah proses menyambungkan benang daripada losen kepada benang yang tertinggal pada jentera. Cara ikatannya dipanggil ubung tindas. Proses ini bertujuan menyambungkan benang losen untuk menenun. Meja kecil dinamakan meja hidangan berukuran 10 cm panjang, 8 cm lebar dan 20 cm digunakan untuk menghubung.
6. Mengarak
Kerja mengarak dilakukan setelah selesai proses menyampuk. Mengarak dilakukan dengan melilit benang asing atau benang karat kepada kayu karat, termasuk benang losen. Jumlah karat yang digunakan biasanya hanya dua karat dan setiap karat mempunyai empat batang anak kayu.
7. Menyolek
Kerja menyolek bunga merupakan kerja yang paling rumit dalam proses menenun kain songket. Cara menyolek reka corak adalah dengan menyusulkan lidi-lidi buluh pada benang losen yang dikehendaki. Biasanya kain songket ditenun dengan teknik tekat tiga atau tekat lima. Jika menggunakan tekat lima, setiap lima unit benang losen, satu benang alas ditolak ke bawah dan benang-benang alas ini disengkang pula dengan belira. Setelah benang losen berada di atas, barulah kamu boleh menyolek dalam pelbagai corak pada benang losen dengan menggunakan lidi buluh. Belira dimasukkan pada setiap lidi buluh tadi mengikut giliran. Belira ditegakkan untuk menyenangkan ikatan benang butang. Butang-butang inilah yang akan menjadikan corak atau motif bunga di atas kain songket. Apabila selesai proses menyongket, benang losen bersama karat-karatnya ditukar ke kek tenun untuk ditenun agar menjadi kain songket.
8. Menenun
Menenun adalah proses terakhir, iaitu benang losen dipangkah oleh benang pakan untuk dijadikan kain. Bagi kain songket bercorak penuh, benang emas dilayarkan melalui torak benang emas untuk menghasilkan sulaman motif bunga atau hiasan reka corak penuh. Bagi kain songket corak melintang atau corak bunga bertabur, benang emas dilayarkan melalui cubaan untuk mendapatkan motif-motif yang dikehendaki. Lazimnya selepas satu benang emas dilayarkan, ia dikepuh (beat) dan diikuti pula dengan melayarkan dua benang pakan. Penenun akan menukarkan benang butang mengikut giliran dan corak yang telah ditentukan. Proses ini diulangi sehingga menghasilkan sehelai kain songket.
Kain Songket adalah hasil daripada tenunan benang sutera atau kapas yang ditenun bersama-sama dengan benang emas atau perak. Ia telah terkenal di Malaysia sejak abad ke 15 yang lampau. Perkataan songket berasal daripada perkataan sungkit iaitu teknik menyungkit. Industri tenunan songket ini telah berkembang pesat terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur seperti di Terengganu dan Kelantan. Bunga atau hiasan di kepala kain di tenun mengikut citarasa penenun. Corak atau ragam hias tersebut dikenali dengan nama-nama seperti tapak manggis, pucuk rebung, lawi ayam dan sebagainya.
Tenunan songket ini dilakukan sebagai industri kecil, yang mana kemahiran seseorang penenun itu mengambil masa selama enam minggu untuk menghasilkan sehelai kain songket yang panjangnya di antara 20 hingga 40 meter. Sesuatu yang mengkagumkan tentang seseorang penenun mahir ialah, dia tidak melakar corak songket di atas kertas sebelum kerja-kerja menenun dilakukan sebaliknya ia tercetus daripada daya kreativiti dan imaginasi yang tinggi lagi unik.
Motif
Motif yang digunakan untuk menenun songket diilhamkan daripada alam semulajadi. Antara motif-motif songket:
Motif Tumbuh-tumbuhan
Motif Binatang
Motif Alam
Benda
Motif Kuih
CorakCorak kain songket lazimnya terdiri dari:
Susunan bunga penuh
Susunan bunga bertabur
Susunan bercorak
Proses Pembuatan
Mencelup benang
Benang perlu dibersihkan sebelum dicelup ke dalam pewarna. Setelah pewarnaan dibuat benang perlu di keringkan, sebelum kerja selanjutnya dilaksanakan.
Melerai benang
Pelenting yang diperbuat daripada buluh kecil digunakan untuk melilit benang. Proses ini dilakukan dengan bantuan alat darwin dan alat pemutar rahat.
Menganeng benang
Proses membuat benang loseng yang diregang di alat penenun bagi menentukan saiz panjang atau jumlah helai kain yang akan ditenun.
Menggulung
Benang-benang yang diregang di alat menganeng (ianian) digulung dengan sekeping papan loseng.
Menyapuk benang
Setelah benang loseng dimasukkan ke dalam gigi atau sikat jentera, kerja-kerja menyapuk dilakukan. Dua urat benang loseng dikaitkan melalui setiap celah gigi jentera.
Mengarak benang
Karak dibuat daripada benang asing yang digelung. Benang loseng berangka genap dan ganjil akan diangkat turun naik secara berselang seli sewaktu menenun.
Menyongket benang
Proses mereka corak di atas benang loseng dengan menggunakan alat yang di panggil lidi dengan menyongketkan benang loseng sebanyak tiga atau lima lembar dan kemudian diikat dan dikenali sebagai proses ikat butang.
Menenun
Alat torak yang diisi dengan benang pakan atau benang emas, dimasukkan ke kiri dan kanan di celah-celah benang loseng mengikut corak yang telah ditentukan hinggalah menjadi sekeping kain. Kain yang telah siap ini dipotong mengikut saiz.
Penggunaan
Pada zaman dahulu songket melambangkan kebesaran. Raja-raja dan pembesar-pembesar istana sahaja yang bekemampuan memakainya. Kegunaannya adalah untuk membuat tanjak, samping, kain selendang dan persalinan diraja. Tetapi di zaman moden songket digunakan untuk pakaian pengantin, perhiasan dinding, beg tangan, alas meja, barang-barang cenderamata dan sebagainya mengikut keupayaan pengusaha untuk mempelbagaikannya.
Setelah sekian lama perusahaan songket berkembang di Malaysia maka kini corak songket mendapat tempat di hati para arkitek. Terdapat beberapa bangunan pencakar langit telah diterapkan dengan corak songket seperti bangunan Perpustakaan Negara Malaysia.