7 Jul 2010

Tenunan Pua



Kehalusan dan keindahan seni kraftangan Sarawak jelas terpancar melalui warisan pelbagai hasil kraftangan kaum etnik yang terdapat di Sarawak. Pua, tenunan ikat-lungsin yang diwarisi turun-temurun oleh suku kaum Iban memaparkan identiti dan pegangan kuat kaum tersebut kepada adat dan tradisi hidup.

Kombinasi warna coklat kemerah-merahan yang terdapat pada tenunan pua cukup harmonis dan menarik. Motif tumbuh-tumbuhan, binatang dan lambang makhluk seperti corak cicak (engkarong), buaya, lembaga manusia (engkaramba) dan sebagainya memaparkan keunikan rekacorak tradisi tenunan pua. Namun demikian, penenun pua kini lebih tertumpu kepada motif moden seperti bentuk tumbuh-tumbuhan dan geometrik.

Selain daripada kegunaan di upacara adat istiadat dan keagamaan, tenunan pua juga boleh dijadikan pelbagai jenis pakaian tradisi. Antaranya ialah bidang (skirt), sirat (cawat), kalambi (jaket) dan dangdong (kain sarung).

Jalinan hasil tenunan dan kegemilangan kombinasi warna dan corak tenunan yang mempersonakan, memaparkan keindahan serta nilai estetika dan mistik tenunan pua yang masih terpelihara hingga ke hari ini.



ALAT DAN BAHAN

1. Jengkuan
2. Kayu tebal
3. Lidi panjang
4. Kayu lambongan
5. Kayu karap
6. Beliak
7. Pelayang
8. Kayu rakup
9. Sengkabit
10. Benang
11. Tali rafia
12. Pewarna

Peralatan dan bahan

Menenun kain pua

PROSES MENENUN KAIN PUA

Memproses Benang

Benang putih yang telah dipilih direndam semalaman di dalam air bersih. Kemudian dimasukkan ke dalam campuran kanji supaya benang yang akan digunakan dalam tenunan pua ini tidak berbulu dan tidak mudah putus.


Menggulung Benang

Benang mentah yang telah dikanji dan dikeringkan akan dimasukkan ke dalam 'Pelayang Benang' untuk digulung dalam bentuk bebola.


Menggirit

Alat tenunan (tumpoh) akan digunakan dalam proses ini. Proses menggirit dilakukan dengan membawa mangkuk yang berisi benang dari bahagian kiri alat tenunan dan dibawa dari bawah ke atas dan diselitkan anak-anak kayu di antaranya untuk memudahkan kerja-kerja mengarap kelak.

Mengarap

'Kayu Lambongan' digunakan untuk memasukkan benang yang terselit antara kayu-kayu kecil dan dikait menggunakan jari. Benang ini kemudian akan diikat pada kayu kecil yang disusunkan antara 'Kayu Lambongan' dan 'Beliak'.


Menegi

Proses menegi dilakukan supaya memudahkan lagi proses mengikat. Benang yang telah digarap akan ditegi kepada dua bahagian (bahagian atas dan bawah). Setelah siap ditegi dan dijahit pada bahagian atas dan bawah, benang akan ditegangkan dengan diselitkan dua batang kayu di atas 'Tangga Benang'.


Mengikat Motif (Pertama)

Jaluran-jaluran benang tadi akan diikat berpandukan corak yang dikehendaki dengan tali 'rafia'. Tujuan mengikat ialah supaya ikatan tidak diserap oleh warna apabila melakukan proses pencelupan kelak.


Mencelup Warna (Pertama)

Benang yang telah diikat dikeluarkan dari tangga benang, direndam dan dibilas dengan air. Kemudian, ia dicelup ke dalam bahan pewarna mengikut warna yang dikehendaki. Selalunya warna merah menjadi pilihan proses mewarna pertama tenunan pua ini.


Mengikat Motif (Kedua)

Benang yang telah dikeringkan, akan menjalani proses mengikat kali kedua tapi ikatan yang pertama tadi dibiarkan (tidak dibuka). Cuma ikatan pada benang ditambah untuk tujuan mencelup warna kedua.


Menenun Pua

Benang yang telah dibuka ikatan akan dimasukkan pada alat tenunan. Bahagian atas benang dimasukkan pada kayu rakup dan bahagian bawah akan disusupkan pada kayu panjang sebelum diikat pada bahagian bawah alat tenunan dan ditarik sehingga tegang. Bahagian bawah ini disambung dengan 'Sengkabit' (alas belakang semasa menenun). Kemudian, benang yang dilancarkan dengan 'Jengkuan' akan dipangkah oleh benang kapas untuk dijadikan kain pua pula.


Sumber: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia


Jati anak Yu, 71, is a champion pua kumbu (Iban blanket) weaver from Sarawak



Rujukan

http://www.scribd.com/doc/17675411/Kain-Pua-Complete
http://pkkmsarawak.blogspot.com/2009/11/inovasi-peralatan-tenunan-pua.html

1 ulasan:

  1. Dengan hormat,

    Saya ingin mohon bantuan membuat kain dari bahan serat daur ulang polyester untuk ukuran 5 cm x 50 cm sebanyak 3 pcs.

    Mohon advice untuk hal ini.

    Hormat saya,
    Tatang G.

    BalasPadam