13 Nov 2009

Catan cat Air “ Bumi Bahagia Lombong Bijeh Malaya “


“ Bumi Bahagia Lombong Bijeh Malaya “
Karya Abdullah Ariff
Tahun 1960
Cat air
36.4 x 54.1 cm

Dipetik dari katalog Balai Seni Lukis Negara Koleksi 1958-1988. Copyrights: Terbitan Balai Seni Lukis Negara Malaysia, No.2, Jalan Temerloh Off Jalan Tun Razak, 53200 Kuala Lumpur. Tel : 03-4025 4990 / 03- 4026 7000

Karya ini dihasilkan ketika dan waktu negara baru mencapai kemerdekaan. Karya ini merekodkan aktiviti ekonomi negara yang menjadi rujukan sebagai dokumentasi sejarah. Tahun ketika karya ini dihasilkan adalah bukti sejarah. Segala yang dilalui sebelum siap menjadi tatapan umum adalah pengalaman artis dan pengakhiran seni itu ditentukan oleh pengalaman diri. Namun tidak semua pengalaman artis dicatat atau didokumentasikan. Dokumen ini penting sebagai rujukan kepada artis dan masyarakat mengetahui aktiviti dan bahan dalam karya itu. Ia juga sebagai kajian kreativiti untuk dikongsi bersama dan menjadi himpunan kajian generasi akan datang.

Karya di atas adalah salah satu karya yang banyak diberi apresiasi oleh pengkritik dan sejarawan seni sebagai aliran catan air yang terawal di dalam sejarah perkembangan seni lukis tanah air. Abdullah Ariff bersama Yong Mun Sen telah diiktiraf sebagai perintis lukisan cat air di Malaysia (Pioneer artists of Malaysia).

Kelebihannya yang menyerlah dari segi eksplorasi teknik ‘wash’ dan bersifat konsisten adalah ciri-ciri yang dekat dengan diri pelukis dalam berkarya. Sifatnya yang begitu cermat dan teliti dalam menggunakan media telah mengangkat status diri sebagai seniman berdedikasi yang dikatakan sentuhannya mirip gaya lukisan catan air Barat.

LATAR RUANG

Dengan aplikasi 3 latar iaitu latar depan, latar tengah dan latar belakang, suasana aktiviti melombong itu tergambar luas. Latar tengah mendominasi keseluruhan gambaran dengan keutamaan beberapa elemen diletakkan di situ. Contoh mainan cahaya, eksplorasi kecairan ‘wash’ yang terserlah dan prinsip penegasan diberi tumpuan pada pancutan air yang tertumpu di latar tengah. Warna air bercampur lumpur itu adalah fokus kepada mainan cahaya yang datang dari atas. Kawasan cahaya itu mengambil ruang yang luas dan diletak pada posisi tengah, dianggap pilihan posisi yang baik dan sesuai dengan mainan cahaya yang sangat dititik beratkan.

Latar depan, kurang menyerlah yang mengambil ruang kecil dengan imej tiga figura sedang mencangkul dan mengandar bijih.

KECAIRAN

Penonjolan ‘wash’ atau kecairan mempunyai daya kekuatan yang unik. Kekuatan yang tersendiri ini adalah sifat ‘wash’ itu sendiri yang aktif apabila basah di atas basah diaplikasikan. Antara sifatnya yang tidak terduga dan terjadi secara spontan itu boleh membantu kepada kekuatan nilai catan air. Ruang yang digunakan untuk kecairan itu sesuai dan tepat iaitu di komposisi tengah dan di situ juga kekuatan cahaya ditimbulkan. Apabila permukaan kertas yang basah di aktifkan dengan pilihan warna yang dilebihkan kandungan airnya akan hidup dan berkembang menjadi kecairan itu berlaku dengan tidak diduga. Jika dikesani elemen cahaya itu sendiri sebenarnya banyak dibantu oleh teknik kecairan yang konsisten.

Asas kukuh kepada penghasilan kecairan dalam catan air, didahului dengan asas-asas komposisi, pilihan warna dan teknik yang dibangunkan. Mengamalkan kecairan adalah perlu dan inilah ciri-ciri istimewa catan air. Persoalannya bahagian manakah dalam catan air yang perlukan kecairan? Jawapannya perlu dilihat kembali peranan kecairan itu yang patut berada dalam keadaan membantu komposisi, menaikan tarikan cahaya atau menambah nilai kekuatan warna.

Kesan kecairan perlu ada dan ia menjadi keunggulan kepada catan air. Kesan itu bergantung kepada kawalan berus, campuran warna nisbah air, jenis kertas.

Setiap kali berlaku kesilapan ia dianggap satu kebetulan dan ini tidak merunsingkan artis. Perlu diingat dalam kecairan kesan lutsinar dan kesan spontan adalah antara ciri-ciri kecantikan. Jika kesan kecairan yang keterlaluan, catan air akan kehilangan lutsinar. Manakala kesan spontan akan lahir sendiri melalui latihan dan kawalan.

Pengaruh catan Cina digunakan dalam karya ini yang membantu satu ruang menjadi daya penarik kepada pemerhati. Ruang itu luas, ada kesan ketenangan dan mata banyak direhatkan di situ tetapi ia bukan titik fokus. Ruang yang dimaksudkan itu, luas ditinggalkan di belakang titik fokus dan ia menjadi daya tarikan. Contoh pancutan air itu adalah titik fokus dan runtuhan tanah adalah ruang yang diserlahkan kecairan. Ruang runtuhan tanah itu menjadi daya penarik.

Komposisi berperanan penting membantu kecairan menjadi seimbang. Jika tersalah pilih komposisi maka ia kurang membantu kecairan. Komposisi itu adalah kunci untuk warna cair mengembang dan menyerlahkan imej.

Karya catan air Abdullah Ariff ini berkeupayaan meninggalkan kesan emosi yang mendalam. Emosi kita dimainkan melalui teknik kecairan. Kecairannya meresap rasa untuk kita bersama menikmati keindahan alam.

10 ulasan:

  1. details ni tentang zaman seni pop ke?

    BalasPadam
  2. buat maklumat karya dia yang lain seperti on the road,menanti ayah,dan lain lain

    BalasPadam
  3. Apakah tema yang di gunakan oleh yong mun sen dan abdulla ariff dalam catan air merika

    BalasPadam
  4. Apakah tema yang di gunakan oleh yong mun sen dan abdulla ariff dalam catan air merika

    BalasPadam
  5. hai follow ig nih @ndraqsreena_

    BalasPadam